TAZKIRAH RAMADHAN

17 09 2008

Kita sering mahukan hari yang CERAH….

Tetapi Allah lebih mengetahui, hakikatnya hujan perlu diturunkan…

Kita ingin seringkan KESERONOKAN…..

Jauh sekali akan KESUSAHAN…

Tetapi Allah lebih mengetahui KESUSAHAN itulah yang mengajar ERTI KEHIDUPAN…

Kita sering menginginkan KETENANGAN…..Hakikatnya diri ini penuh dengan DOSA & KEJAHATAN

————————————————————————————-

Kita sering mempersoalkan, Ya Allah, kenapa semua ini terjadi pada aku sedangkan hati ini tidak menginginkannya ?, kenapa berat sangat ujian ini ? dan bagaimana untuk aku menghadapi semua ini ?

Semuanya telah Allah SWT jelaskan Al-Quran di atas setiap perkara yang kita persoalkan. Maha Suci Allah dari menzalimi hamba-hambaNYA bahkan manusia itulah yang banyak menzalimi dirinya dengan melakukan dosa-dosa.

—————————————————————————

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah ayat 216)


“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya.”
(Surah Al-Baqarah ayat 286)


“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
(Surah Al-Baqarah ayat 45)

———————————————————————————–

APABILA MENGHADAPI UJIAN

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia
sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi
terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud
tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian
samada secara langsung dari Allah atau melalui orang
lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil,
sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan
orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam
dan mudah buruk sangka. Yang dahsyatnya ialah kalau
hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian
itu.

Allah Maha Pengasih, jauh sekali Allah takdirkan ujian
hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita
sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang
ditimpakan.

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan
sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik
sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah,
mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan
Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan
sebagainya.

Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab
itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan
ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak
tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah
dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu.
Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi
ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan
perbuatan dosa itu sehingga bila-bila.

Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas
dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum,
samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah
bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan
dosa itu). Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi
Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan
didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan,
kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya.

Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah
ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita
tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah
merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan
menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada
hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat,
kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda
lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya
kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur
kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih
daripada dosa.

Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja
Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada
kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang
bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita
akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta
melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan
kemiskinan.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu
memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan
menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita
menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan
membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang
sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang
datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah
diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang
yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja
didatangkan agar terasalah kita ini lemah, tiada kuasa
untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa
kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa
bangga diri.

Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa
beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai
hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih
belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat
meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan
kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin
bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan
Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang

bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk
syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang
yang berjihad di antara kamu dan belum nyata
orang-orang yang bersabar.”

Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:

“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan
pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang
kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang
sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau
marah-marah pada Allah, insyaAllah ganjarannya di
syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana
hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak!

Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke
atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan
kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud
untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi
Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat
belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif,
masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah
baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda
dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri
untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana
kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda
menjawab:

“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka
kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan
keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza
dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila
diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan
berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada
kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan
kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji
kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi,
tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika
guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang
murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi
murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf
dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang
dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak
mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia
sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid
yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku
kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid
atau guru besar yang merotannya.

Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan
tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang
bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid
yang bersalah itu layaklah dirotan.

Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih.
Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.
Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan
kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah
dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.
Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari
Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah
kita menyedari akan kesilapan kita selama ini.
Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil
sebagai satu didikan terus dari Allah.

Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib
bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang
Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti
merungut ketika diuji?

Sumber : http://www.geocities.com/dr_ikmal/artikel_agama_5.htm

————————————————————————————

SEMOGA RAMADHAN INI MEMBENTUK JIWA YANG BERTAQWA KERANA INILAH JALAN KELUAR BAGI SETIAP KEMELUT MASALAH YANG DIHADAPI MANUSIA…..MAMPUKAH ????

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.”

( At-Talaq : 2 )





3 Perkara

12 09 2008

Alhamdulillah, pada Ramadhan tahun lepas (1428H), selepas Solat Jumaat, diadakan slot tazkirah di Masjid Besar Pasir Mas. Alhamdulillah, saya hari itu yang sudah maklum akan program pengisian ini bersedia dengan sekeping kertas yang dilipatkan dalam poket baju melayu dan sebatang pen.

Sememangnya zaman sekarang ini sudah terbalik, kebanyakan kita yang menghadiri Majlis Ilmu datang dengan tangan kosong, dan tokguru / ustaz yang datang ingin memberi kuliah itu membawa kitab. Kalau zaman tok nenek kita dulu, tokguru datang dengan sehelai sepinggang, dan para pendengar sekalian bersiap sedia dengan kitab rujukan / buku nota.

Zaman sudah berubah….kesedaran untuk menuntut ilmu kurang, kita sekadar datang untuk mendengar, itupun kebetulan pihak masjid mengisi ruang-ruang antara maghrib dan isya dengan Kuliah Agama. Kalau tak ada, mungkin kita lebih suka berbual atau menonton televisyen di rumah dari menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid.

Berbalik kepada program tazkirah sesudah Solat Jumaat tadi, saya kongsikan sedikit ilmu yang sempat saya catatkan, sebagai peringatan untuk kita semua terutamanya diri saya sendiri. Itulah pentingnya kita yang menghadiri majlis ilmu ini bersedia dengan buku nota dan pen, catatan itu dapat kita simpan dan boleh kita membacanya kembali, kalau harapkan ingatan kita saja untuk mengingati segala ilmu yang disampaikan, rasanya tak sampai 2,3 hari, maklumlah kita manusia ini sifatnya pelupa, ditambah lagi dengan kita mendengar dan melihat perkara-perkara lagha di televisyen, akhbar, semua yang bermanfaat hilang begitu sahaja.

Antara intipati tazkirah yang disampaikan :

Sewaktu Rasulullah SAW melangkah ke mimbar, para sahabat mendengar Nabi SAW mengucapkan amin beberapa kali, tetapi mereka tidak mendengar doa yang diaminkan oleh Rasulullah itu. Perkara yang diaminkan oleh Nabi, doa yang dibaca oleh para malaikat iaitu

1. Celakalah orang yang tidak mendapat pengampunan Allah setelah berakhirnya bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan Maghfirah yang dijanjikan keampunan oleh Allah kepada hamba-hambaNya. Celakalah bagi mereka yang tidak menggunakan peluang ini untuk memohon ampun di atas segala dosa-dosa sepanjang hidupnya selama ini, sebaliknya berterusan dalam kemaksiatan dan langsung tidak menghargai dan berpaling dari pintu taubat yang Allah SWT buka seluas-luasnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

2. Celakalah orang yang derhaka pada orang tuanya. Tidak menghiraukan makan minum mereka, tidak bertanya khabar mereka dan membiarkan orang tua mereka hidup dalam kelaparan.

3.Celakalah orang yang tidak berselawat ke atas Rasulullah apabila disebutkan namanya. Berselawat disini tidaklah hanya mengucapkan selawat dibibir sahaja, tetapi apabila disebutkan nama Baginda, maka kita wajib mengingati Baginda, merindui Baginda Rasulullah SAW, perlu timbul rasa kasih dan sayang yang amat mendalam pada baginda. Kalau ibubapa kita apabila disebutkan nama mereka, kita tentu akan terbayangkan mereka, maka pada Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi kita perlu mengingati dan merinduinya.

Ustaz kemudian bertanya pada semua jemaah, sejauh manakah kita merindui dan mencintai Nabi kita ini, yang telah banyak bersusah payah kerana kita, yang amat menyayangi umatnya, yang bimbang jika seorang pun umatnya masuk neraka…..

Kisah Bilal yang merindui Rasulullah SAW sesudah Baginda wafat

Sesudah kewafatan Rasulullah SAW, Bilal berpindah dari Madinah ke sebuah tempat yang lain, antara sebabnya kerana tidak tahan melihat Makam Rasulullah SAW yang berada dalam Masjid Nabi. Setiap kali melihatnya, maka Bilal akan menangis mengenangkan Rasulullah SAW.

Suatu malam, Bilal bermimpi didatangi Rasulullah SAW, Baginda bertanya kepada Bilal kenapa sudah lama tidak menziarahi Baginda. Apabila tersedar, Bilal terus ke Madinah menziarahi makam Rasulullah SAW. Apabila masuk waktu solat, Bilal pun melaungkan azan. Seluruh madinah menangis mendengar azan yang dilaungkan oleh Bilal, mereka terkenangkan Rasulullah SAW kerana azan yang dilaungkan Bilal.

Begitulah kasih dan cintanya para sahabat pada Rasulullah SAW….






Bulan Overhaul Hati

8 09 2008

Allah Taala menjadikan manusia dijadikan sekali
di mana kekuatannya dan kelemahannya

Tuhan tahu bagaimana menguatkan yang lemah

dan bagaimana menyuburkan yang kuat

Allah Taala tahu di mana kebaikan mereka,
dan di mana kejahatan mereka

Memang Tuhan ada bekalkan manusia ada benih baik ada benih jahat
Tuhan tahu dari punca apa dia baik dan dari punca apa dia jahat
Hatilah wadahnya yang boleh menerima kebaikan dan kejahatan
Di dalam masa setahun manusia terdedah dengan
berbagai-bagai ajaran dan cabaran
Cabaran itu seperti tekanan hidup, sibuk dengan kerja,
berhadapan dengan kerenah manusia
Berlaku juga ujian-ujian yang mendadak,
kemalangan yang tidak disangka,
melihat, mendengar perkara yang merosakkan
Ditambah lagi hasil didikan, bacaan semuanya ini
memberi kesan yang negatif kepada jiwa kebanyakan orang

Kecuali orang yang kuat dengan Tuhan
jiwanya tidak rosak dan tidak memberi kesan
Cabaran-cabaran itu tidak merosakkan jiwa mereka,
bahkan bertambah kuat dengan Tuhan

Dengan rahmat Tuhan dan kasih sayang-Nya
Tuhan perintahkan puasa Ramadhan dan lain-lain ibadah tambahan
Ramadhan boleh membaik pulih kejahatan
Kerosakan manusia setahun hanya sebulan
Seolah-olah Ramadhan bulan overhaul hati insan
Seperti kereta yang sudah lama dipakai,
banyak kerosakan telah berlaku terutama enjin, perlu overhaul
Overhaullah caranya membaikpulihkan kereta
yang perjalanannya sudah tidak berapa betul

Manusia yang sudah rosak jiwanya, fikirannya,
sikap dan tingkah lakunya dipulihkan melalui didikan Ramadhan
Didikan Ramadhan merupakan satu pakej pendidikan
di antara satu sama lain kuat-menguatkan

Siangnya puasa, sembahyang ditambah lagi dengan Tarawikh,
disusul dengan membaca Al Quran
Ditambah lagi dengan perkara-perkara sampingan,
zikir, tasbih, tahmid, salawat, tafakur
digalakkan bersedekah dan pemurah,
perbualan yang menambah kesedaran

Keseluruhan itu asasnya adalah mujahadah melawan nafsu
menentukan didikan Ramadhan berkesan atau tidak bekesan
Didikan Ramadhan ada mujahadah, ada didikan puasa, didikan sembahyang
Ditambah lagi didikan Al Quran dan lain-lain lagi tambahannya

Mujahadah ertinya memerlukan kekuatan jiwa,
memaksa membuat yang disuruh,
memaksa meninggalkan larangan
Larangan itu sama ada yang lahir mahupun yang batin kenalah tinggalkan
Mujahadah ertinya memaksa, terseksa,
membencikan, menjemukan, meletihkan
Kalau jiwa tidak kuat usaha tidak dapat diteruskan,
atau buat tanpa kesungguhan

Kerana itulah mujahadah perlu pemangkin yang menggalakkan,
Pemangkin ialah puasa yang hati dan fikirannya puasa,
sembahyang yang dapat dihayati,
didikan Al Quran yang difaham dan dijiwai

Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan
dan menajamkan rasa bertuhan
Di antara didikan Al Quran di sana ada khabar gembira,
ada amaran, ada suri teladan juga ada kesedaran dan keinsafan

Didikan puasa rasa lemah, rasa hamba,
rasa timbang rasa, menyedarkan dan menginsafkan

Daripada 3 pakej didikan yang utama itulah
menjadikan pemangkin menguatkan jiwa, menyuburkan jiwa, meneguhkan keyakinan
Apabila jiwa kuat, jiwa subur, mujahadah pun kuat
Apabila jiwa kuat dan subur hikmah Ramadhan
daripada 3 pakej didikan tadi boleh bangunkan insan

Jika hikmah Ramadhan itu dapat dimiliki lahirlah manusia luarbiasa
Ertinya manusia yang dioverhaul di bulan Ramadhan
mengembalikan manusia kepada fitrah sucinya
Lahirlah manusia yang luar biasa,
iaitu manusia yang benar-benar rasa kehambaan
Manusia yang tawadhuk, sabar, redha, berkasih sayang,
bertimbang rasa, pemurah, kerjasama
Malu akan jadi pakaian, tawakal menjadi perasaan, keyakinan kental
Apabila sifat ini dapat dimiliki, automatik mazmumah terbasmi
Sombong, tamak, bakhil, pemarah, hasad,
dendam, gila puji, gila nama, mati

Inilah dia orang yang menang dan berjaya didikan Ramadhan
Selepas Ramadhan manusia itu kembali suci seperti fitrahnya yang semulajadi
Orang ini sahajalah yang layak berhari raya
Kerana berjaya mengembalikan kesucian fitrahnya,
hari raya namanya

Hari raya ertinya mengembalikan fitrah suci lagi murni
Kalau fitrah yang suci murni ini kekal sepanjang tahun,
Ramadhan yang akan datang
hanya memberi cahaya lagi, bukan overhaul
Begitulah didikan Ramadhan ramai orang yang gagal,
sedikit sangat yang berjaya

Sumber : http://barokah.wordpress.com





Kemiskinan Bukan Untuk dibasmi

4 05 2008

Kemiskinan

dipetik dari Alim Neraca Kehidupan terbitan Rufaqa Corp.
Disusun oleh Muhammad Abu Bakar

Dalam hidup ini, banyak perkara yang manusia suka dan banyak perkara yang manusia benci. Yang manusia suka dia akan usahakan supaya diperbanyakkan lagi. Yang dibenci, kalau boleh hendak dibasmi dan dihapuskan.

Di antara perkara yang manusia tidak suka ialah kemiskinan. Maka banyaklah suara dan usul diketengahkan untuk membasmi kemiskinan. Malahan telah diadakan program khas untuk tujuan membasmi kemiskinan ini.

Hakikatnya, bukan sahaja manusia di zaman ini yang bencikan kemiskinan. Manusia di sepanjang zaman bencikan kemiskinan. Berbagai usaha telah dibuat oleh manusia dari zaman silam sama ada secara individu mahupun secara berkelompok untuk menghapuskan kemiskinan di dalam masyarakat dan tamadun mereka. Dalam hal ini manusia belum pernah berjaya.

Justeru itu soal yang timbul dalam fikiran kita bolehkah fenomena kemiskinan ini dibasmikan ? Bukankah ia satu sunnatullah yang tidak akan berubah-ubah. Apa akan terjadi pada sesuatu masyarakat yang tidak mempunyai orang miskin dan semua ahlinya kaya ? Apakah hikmah Allah mencipta kemiskinan di kalangan manusia ?

Yang sebenarnya, dalam sesuatu masyarakat, tidak boleh semuanya miskin. Kelak tidak akan ada orang yang menjadi pengusaha yang mengeluarkan modal untuk industri pertanian dan perniagaan. Maka ekonomi tidak akan tertegak sedangkan ia nadi bagi kehidupan lahiriah manusia. Tidak boleh pula kesemua orang dalam masyarakat itu kaya. Kelak tidak akan ada pula buruh dan pekerja yang akan menggerakkan industri, pertanian dan peniagaan.

Jelaslah bahawa orang miskin dan orang kaya itu saling bantu membantu dan saling perlu memerlukan di dalam menegakkan sistem hidup bermasyarakat. Kalau semua ahli masyarakat miskin maka masing-masing akan hidup melarat tanpa ada sebarang kegiatan ekonomi. Masing-masing akan cari makan untuk kehidupan sendiri-sendiri.

Kalau semua ahli masyarakat kaya pula maka kekayaan itu tidak ada sebarang makna. Wang tidak dapat digunakan untuk membeli apa-apa. Beras tidak ada, ikan tidak ada. Buah-buahan tidak ada. Tidak akan ada petani yang menanam hasil pertanian dan tidak akan ada nelayan yang pergi ke laut menangkap ikan. Tidak ada tukang buat rumah. Tidak ada buruh membina jalan. Malahan tidak akan wujud sebarang kemajuan dan pembangunan di dalam masyarakat yang semua ahlinya orang kaya belaka.

Memang Allah wujudkan miskin dan kaya itu supaya dapat hidup bersama-sama, bergantung dan perlu-memerlukan antara satu sama lain. Supaya terjadi interaksi di dalam masyarakat yang boleh mencetuskan kemajuan dan tamadun. Di atas itulah Allah adakah pula syariat supaya orang kaya dan miskin dapat hidup harmoni dan berkasih sayang. Yang miskin disuruh sabar dan jangan meminta-minta. Yang kaya disyariatkan supaya mengasihi, membela dan membantu yang miskin melalui zakat, sedekah dan sebagainya.

Rezeki yang Allah kurniakan cukup untuk semua manusia. Hanya ia disalurkan melalui orang-orang kaya untuk diratakan. Maka celakalah orang-orang kaya yang tidak melaksanakan amanah ini dan mengumpulkan hak Allah itu untuk diri mereka sendiri sahaja.

Oleh yang demikian, membasmi kemiskinan bukan cara untuk menyelesaikan masalah. Kemiskinan akan tetap wujud sampai hari qiamat. Apa yang perlu dibuat ialah LAKSANAKAN SYARIAT ALLAH dalam mengendalikan harta kekayaan dan dalam semua urusan kehidupan terutamanya dalam sistem pemerintahan. Sempurnakan hak fakir miskin supaya mereka senang dalam kemiskinan mereka. Supaya timbul kasih sayang mereka terhadap orang-orang kaya. Hanya rezeki dan hak mereka berada di tangan orang-orang kaya. Jangan mereka dikhianati dan dizalimi dengan menahan hak mereka itu.