Yahudi tak alah selagi Subuh tak seperti Jumaat

1 02 2009

qunut

MELIHAT kepada kekuatan yang ada pada Israel dan sokongan kukuh Amerika yang tidak berbelah bagi di belakangnya, tidak nampak umatIslam mampu menewaskannya seperti yang pernah dilakukan Sultan Salahuddin al-Ayubi dulu.

Dan bersatulah Islam seluruh belaka, berdemonstrasilah hingga beratus ribu di mana-mana saja di dunia, dalam keadaan yang ada, tiada terdaya dan tiada nampak tanda-tanda Yahudi Israel dapat dikalahkan dan Baitul Maqdis dapat dibebaskan.

Yahudi tahu semua ini. Justeru, apabila menyerang Lubnan yang Islamnya separuh-separuh saja, ia tidak peduluilangsung segala sanggahan dunia Islam dan PBB kerana masing-masing tidak sanggup berbuat apa-apa.

Ia sedia mengadakan gencatan senjata, bukan kerana ia takut kepada tindakan balas umat Islam dan dunia, tetapi ia berhenti sekejap kerana ia penat. Apabila penatnya reda, maka ia akan berbuat apa-apa saja. Yahudi tahu bila ia boleh dikalahkan oleh Islam dan apa senjata yang boleh mengalahkannya.

Iman dan jihad

Yahudi tahu senjata besar umat Islam ialah iman dan jihad. Senjata itu ada pada pada sebilangan kecil umat Islam sekali pun bilangan umat Islam dunia melebihi satu bilion orang. Yang ramai itu adalah sepertibuih di permukaan laut, seperti yang baginda s.a.w. pernah sebutkan. Apabila iman itu menjadi sifat yang dimiliki oleh umat seluruhnya, maka Yahudi tahu ia tidak akan boleh bermaharajalela lagi.

Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak. Tetapi sejumlah besar umat Islam di mana-mana juga di dunia sudah memenuhi masjid-masjid setiap Jumaat.

Melihat kepada perhimpunan solat Jumaat yang ada sekarang, Yahudi sudah cukup berwaspada. Jika bilangan yang menunaikan solat itu bertambah, maka ia bertambah bimbang meskipun ia belum boleh menggugat dan menewaskannya. Tetapi apabila umat Islam yang turun solat Jumaat itu juga turun solat Subuh berjamaah setiap pagi, maka ia adalah tanda permulaan bahawa Yahudi boleh dan dapat dikalahkan dalam waktu terdekat.

Apa yang orang Islam buat sekarang ialah semuanya turun ke masjid dan surau bersolat Subuh berjamaah setiap pagi. Jangan ada lagi yang solat di rumah.

Sama ada ada niat untuk memerangi Yahudi atau tidak, semuanya mengambil tanggungjawab dan kesedaran untuk solat Subuh berjamaah seperti solat Jumaat dulu. Niat solat Subuh itu kerana Allah dan membesarkan Allah, maka dengan sendirinya martabat iman masing-masing akan meningkat dan akan meningkat iman umat itu pada keseluruhannya.

Ibadat sunat

Dari keberkatan solat Subuh seperti solat Jumaat itu, solat-solat fardu yang lain boleh ditingkatkan dan segala ibadat sunat akan diberikan perhatian dan diambil berat. Yang menuntut ilmu teruskan; merekacipta serba aneka teknologi, ayuh jalankan; dan mempelbagaikan senjata selain senjata iman, teruskan. Yang hendak berpolitik, teruskan berpolitik, yang suka demonstrasi boleh lipat gandakan. Maknanya, segala cabang jihad diteruskan. Tetapi pastikan jangan memadai sekadar menunaikan solat Subuh. Solat Subuh itu mesti berjamaah seperti solat Jumaat.

Semua amal ibadat yang lain, dengan sendirinya akan meningkat, berkat dari tekad turun beramai-ramai solat Subuh berjamaah, sama seperti turun menunaikan solat Jumaat.

Sekarang ini OIC dan bangsa-bangsa yang sudah penat dan bosan dengan ketakburan Amerika, Nato dan Israel, begitu marah kepada Israel dan Amerika tentang kekejaman mereka di Palestin dan Lubnan. Sama marahnya kepada Israel dalam perang enam hari dengan Mesir tahun 1967 dulu.

Mesir di bawah pimpinan Gamal Abdel Nasser mengumpulkan segala kekuatan dan bersatu seluruh bangsa Arab atas nama sosialis Arab, tetapi tidak memberatkan solat Subuh berjamaah, tidak datang pertolongan Allah.

Mesir hanya bertahan enam hari, satu tempoh yang amat singkat dibandingkan dengan ketahanan Hizbullah di Lubnan yang mampu menghadapi serangan Israel lebih dari sebulan. Senjata yang dikumpulkan umat Islam Arab untuk menghadapi Israel tidak terkira banyak. Jika besi-besi itu digugurkan saja ke bumi Israel tanpa perlu meletupkannya, nescaya bumi Israel itu tertimbus menjadi bukit dihempap senjata-senjata itu.

Tetapi semua senjata itu meletup di bumi dan perairan sendiri. Hanya Scud yang dilepaskan Saddam Husein dan roket yang dilepaskan oleh Hizbullah yang dapat diletupkan di wilayah Israel. Yang dapat diletupkan di Israel itu hanya amat sedikit dibandingkan dengan jumlah senjata yang dimiliki negara Arab sepanjang 50 tahun lalu.

Senjata canggih

Bantuan Allah tidak datang kepada umat Islam kerana masing-masing tidak membina senjata iman. Yang dibina hanya senjata canggih.

Pengalaman saya dalam perjalanan pulang dari Madinah di pinggir Jeddah selepas mengerjakan haji. Rombongan kami singgah solat Subuh di sebuah masjid di pinggir Jeddah. Yang azan itu yang menjadi imam. Dia bilal, dia imam dan dia saja makmum. Untung bas kami singgah di situ. Kami sekalian menjadi makmum.

Bagaimana bantuan Allah hendak turun dalam keadaan demikian. Maka tidak hairanlah ulama Arab membuat fatwa tidak wajar Lubnan dibantu dalam serangan Israel itu. Sudah 50 tahun lebih umat Islam menunggu untuk menundukkan Yahudi Israel. Tidak nampak Israel dapat ditundukkan. Yang tunduk satu demi satu regim umat Islam. Dalam bentuk yang ada, tunggu 100 tahun lagi pun, tidak mungkin negara Yahudi itu boleh ditundukkan.

Saranan Ahmedineejad dengan puluhan ribu demonstrator untuk memadamkan peta Israel dari buku atlas, akan tinggal sebutan tak bermakna. Langsung ia tidak digeruni Yahudi di mana-mana saja.

Tetapi jika Presiden Ahmedineejad boleh memulakan tindakan menggesa setiap laki-laki mukallaf Iran turun setiap solat Subuh seperti solat Jumaat, dan ia diikuti oleh umat Islam yang lain, maka akan datang bantuan Allah dan bungkuslah Israel dan penyokong-penyokongnya dalam sedekad dua akan datang.

Tiada nas yang jelas tentang alahnya Israel apabila solat Subuh sudah seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi. Tetapi ia adalah satu semangat dan kepercayaan, Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh seperti solat Jumaat.

Inilah yang guru-guru kuliah Maghrib beritahu dalam setiap kuliahnya dan inilah khatib patut utarakan dalam setiap khutbahnya. Dan inilah yang Pengerusi OIC kena beritahu negara-negara anggotanya supaya menyeru setiap laki-laki Muslim yang mukallaf jangan mis menjadikan Subuh seperti solat Jumaat.

Apabila semuanya sudah turun ke masjid dan surau di waktu Subuh, maka Allah akan tanamkan kecenderungan masing-masing untuk melakukan ibadat dan kebaikan yang lain.

Tanpa menunggu kedatangan Imam Mahadi, Yahudi Israel akan dapat dikecut-perutkan. Kalau Subuh tidak dapat dijadikan seperti Jumaat, satu demi satu bumi Islam menjadi bumi Yahudi atau menjadi orang yang diredai oleh Yahudi. /tajdid

Sumber Asal : Harakahdaily.net





TAZKIRAH RAMADHAN

17 09 2008

Kita sering mahukan hari yang CERAH….

Tetapi Allah lebih mengetahui, hakikatnya hujan perlu diturunkan…

Kita ingin seringkan KESERONOKAN…..

Jauh sekali akan KESUSAHAN…

Tetapi Allah lebih mengetahui KESUSAHAN itulah yang mengajar ERTI KEHIDUPAN…

Kita sering menginginkan KETENANGAN…..Hakikatnya diri ini penuh dengan DOSA & KEJAHATAN

————————————————————————————-

Kita sering mempersoalkan, Ya Allah, kenapa semua ini terjadi pada aku sedangkan hati ini tidak menginginkannya ?, kenapa berat sangat ujian ini ? dan bagaimana untuk aku menghadapi semua ini ?

Semuanya telah Allah SWT jelaskan Al-Quran di atas setiap perkara yang kita persoalkan. Maha Suci Allah dari menzalimi hamba-hambaNYA bahkan manusia itulah yang banyak menzalimi dirinya dengan melakukan dosa-dosa.

—————————————————————————

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah ayat 216)


“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya.”
(Surah Al-Baqarah ayat 286)


“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
(Surah Al-Baqarah ayat 45)

———————————————————————————–

APABILA MENGHADAPI UJIAN

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia
sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi
terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud
tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian
samada secara langsung dari Allah atau melalui orang
lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil,
sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan
orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam
dan mudah buruk sangka. Yang dahsyatnya ialah kalau
hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian
itu.

Allah Maha Pengasih, jauh sekali Allah takdirkan ujian
hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita
sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang
ditimpakan.

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan
sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik
sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah,
mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan
Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan
sebagainya.

Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab
itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan
ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak
tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah
dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu.
Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi
ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan
perbuatan dosa itu sehingga bila-bila.

Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas
dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum,
samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah
bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan
dosa itu). Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi
Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan
didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan,
kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya.

Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah
ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita
tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah
merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan
menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada
hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat,
kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda
lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya
kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur
kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih
daripada dosa.

Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja
Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada
kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang
bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita
akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta
melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan
kemiskinan.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu
memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan
menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita
menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan
membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang
sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang
datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah
diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang
yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja
didatangkan agar terasalah kita ini lemah, tiada kuasa
untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa
kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa
bangga diri.

Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa
beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai
hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih
belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat
meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan
kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin
bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan
Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang

bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk
syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang
yang berjihad di antara kamu dan belum nyata
orang-orang yang bersabar.”

Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:

“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan
pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang
kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang
sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau
marah-marah pada Allah, insyaAllah ganjarannya di
syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana
hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak!

Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke
atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan
kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud
untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi
Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat
belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif,
masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah
baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda
dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri
untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana
kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda
menjawab:

“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka
kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan
keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza
dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila
diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan
berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada
kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan
kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji
kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi,
tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika
guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang
murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi
murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf
dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang
dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak
mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia
sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid
yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku
kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid
atau guru besar yang merotannya.

Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan
tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang
bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid
yang bersalah itu layaklah dirotan.

Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih.
Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.
Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan
kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah
dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.
Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari
Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah
kita menyedari akan kesilapan kita selama ini.
Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil
sebagai satu didikan terus dari Allah.

Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib
bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang
Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti
merungut ketika diuji?

Sumber : http://www.geocities.com/dr_ikmal/artikel_agama_5.htm

————————————————————————————

SEMOGA RAMADHAN INI MEMBENTUK JIWA YANG BERTAQWA KERANA INILAH JALAN KELUAR BAGI SETIAP KEMELUT MASALAH YANG DIHADAPI MANUSIA…..MAMPUKAH ????

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.”

( At-Talaq : 2 )





3 Perkara

12 09 2008

Alhamdulillah, pada Ramadhan tahun lepas (1428H), selepas Solat Jumaat, diadakan slot tazkirah di Masjid Besar Pasir Mas. Alhamdulillah, saya hari itu yang sudah maklum akan program pengisian ini bersedia dengan sekeping kertas yang dilipatkan dalam poket baju melayu dan sebatang pen.

Sememangnya zaman sekarang ini sudah terbalik, kebanyakan kita yang menghadiri Majlis Ilmu datang dengan tangan kosong, dan tokguru / ustaz yang datang ingin memberi kuliah itu membawa kitab. Kalau zaman tok nenek kita dulu, tokguru datang dengan sehelai sepinggang, dan para pendengar sekalian bersiap sedia dengan kitab rujukan / buku nota.

Zaman sudah berubah….kesedaran untuk menuntut ilmu kurang, kita sekadar datang untuk mendengar, itupun kebetulan pihak masjid mengisi ruang-ruang antara maghrib dan isya dengan Kuliah Agama. Kalau tak ada, mungkin kita lebih suka berbual atau menonton televisyen di rumah dari menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid.

Berbalik kepada program tazkirah sesudah Solat Jumaat tadi, saya kongsikan sedikit ilmu yang sempat saya catatkan, sebagai peringatan untuk kita semua terutamanya diri saya sendiri. Itulah pentingnya kita yang menghadiri majlis ilmu ini bersedia dengan buku nota dan pen, catatan itu dapat kita simpan dan boleh kita membacanya kembali, kalau harapkan ingatan kita saja untuk mengingati segala ilmu yang disampaikan, rasanya tak sampai 2,3 hari, maklumlah kita manusia ini sifatnya pelupa, ditambah lagi dengan kita mendengar dan melihat perkara-perkara lagha di televisyen, akhbar, semua yang bermanfaat hilang begitu sahaja.

Antara intipati tazkirah yang disampaikan :

Sewaktu Rasulullah SAW melangkah ke mimbar, para sahabat mendengar Nabi SAW mengucapkan amin beberapa kali, tetapi mereka tidak mendengar doa yang diaminkan oleh Rasulullah itu. Perkara yang diaminkan oleh Nabi, doa yang dibaca oleh para malaikat iaitu

1. Celakalah orang yang tidak mendapat pengampunan Allah setelah berakhirnya bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan Maghfirah yang dijanjikan keampunan oleh Allah kepada hamba-hambaNya. Celakalah bagi mereka yang tidak menggunakan peluang ini untuk memohon ampun di atas segala dosa-dosa sepanjang hidupnya selama ini, sebaliknya berterusan dalam kemaksiatan dan langsung tidak menghargai dan berpaling dari pintu taubat yang Allah SWT buka seluas-luasnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

2. Celakalah orang yang derhaka pada orang tuanya. Tidak menghiraukan makan minum mereka, tidak bertanya khabar mereka dan membiarkan orang tua mereka hidup dalam kelaparan.

3.Celakalah orang yang tidak berselawat ke atas Rasulullah apabila disebutkan namanya. Berselawat disini tidaklah hanya mengucapkan selawat dibibir sahaja, tetapi apabila disebutkan nama Baginda, maka kita wajib mengingati Baginda, merindui Baginda Rasulullah SAW, perlu timbul rasa kasih dan sayang yang amat mendalam pada baginda. Kalau ibubapa kita apabila disebutkan nama mereka, kita tentu akan terbayangkan mereka, maka pada Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi kita perlu mengingati dan merinduinya.

Ustaz kemudian bertanya pada semua jemaah, sejauh manakah kita merindui dan mencintai Nabi kita ini, yang telah banyak bersusah payah kerana kita, yang amat menyayangi umatnya, yang bimbang jika seorang pun umatnya masuk neraka…..

Kisah Bilal yang merindui Rasulullah SAW sesudah Baginda wafat

Sesudah kewafatan Rasulullah SAW, Bilal berpindah dari Madinah ke sebuah tempat yang lain, antara sebabnya kerana tidak tahan melihat Makam Rasulullah SAW yang berada dalam Masjid Nabi. Setiap kali melihatnya, maka Bilal akan menangis mengenangkan Rasulullah SAW.

Suatu malam, Bilal bermimpi didatangi Rasulullah SAW, Baginda bertanya kepada Bilal kenapa sudah lama tidak menziarahi Baginda. Apabila tersedar, Bilal terus ke Madinah menziarahi makam Rasulullah SAW. Apabila masuk waktu solat, Bilal pun melaungkan azan. Seluruh madinah menangis mendengar azan yang dilaungkan oleh Bilal, mereka terkenangkan Rasulullah SAW kerana azan yang dilaungkan Bilal.

Begitulah kasih dan cintanya para sahabat pada Rasulullah SAW….






Bulan Overhaul Hati

8 09 2008

Allah Taala menjadikan manusia dijadikan sekali
di mana kekuatannya dan kelemahannya

Tuhan tahu bagaimana menguatkan yang lemah

dan bagaimana menyuburkan yang kuat

Allah Taala tahu di mana kebaikan mereka,
dan di mana kejahatan mereka

Memang Tuhan ada bekalkan manusia ada benih baik ada benih jahat
Tuhan tahu dari punca apa dia baik dan dari punca apa dia jahat
Hatilah wadahnya yang boleh menerima kebaikan dan kejahatan
Di dalam masa setahun manusia terdedah dengan
berbagai-bagai ajaran dan cabaran
Cabaran itu seperti tekanan hidup, sibuk dengan kerja,
berhadapan dengan kerenah manusia
Berlaku juga ujian-ujian yang mendadak,
kemalangan yang tidak disangka,
melihat, mendengar perkara yang merosakkan
Ditambah lagi hasil didikan, bacaan semuanya ini
memberi kesan yang negatif kepada jiwa kebanyakan orang

Kecuali orang yang kuat dengan Tuhan
jiwanya tidak rosak dan tidak memberi kesan
Cabaran-cabaran itu tidak merosakkan jiwa mereka,
bahkan bertambah kuat dengan Tuhan

Dengan rahmat Tuhan dan kasih sayang-Nya
Tuhan perintahkan puasa Ramadhan dan lain-lain ibadah tambahan
Ramadhan boleh membaik pulih kejahatan
Kerosakan manusia setahun hanya sebulan
Seolah-olah Ramadhan bulan overhaul hati insan
Seperti kereta yang sudah lama dipakai,
banyak kerosakan telah berlaku terutama enjin, perlu overhaul
Overhaullah caranya membaikpulihkan kereta
yang perjalanannya sudah tidak berapa betul

Manusia yang sudah rosak jiwanya, fikirannya,
sikap dan tingkah lakunya dipulihkan melalui didikan Ramadhan
Didikan Ramadhan merupakan satu pakej pendidikan
di antara satu sama lain kuat-menguatkan

Siangnya puasa, sembahyang ditambah lagi dengan Tarawikh,
disusul dengan membaca Al Quran
Ditambah lagi dengan perkara-perkara sampingan,
zikir, tasbih, tahmid, salawat, tafakur
digalakkan bersedekah dan pemurah,
perbualan yang menambah kesedaran

Keseluruhan itu asasnya adalah mujahadah melawan nafsu
menentukan didikan Ramadhan berkesan atau tidak bekesan
Didikan Ramadhan ada mujahadah, ada didikan puasa, didikan sembahyang
Ditambah lagi didikan Al Quran dan lain-lain lagi tambahannya

Mujahadah ertinya memerlukan kekuatan jiwa,
memaksa membuat yang disuruh,
memaksa meninggalkan larangan
Larangan itu sama ada yang lahir mahupun yang batin kenalah tinggalkan
Mujahadah ertinya memaksa, terseksa,
membencikan, menjemukan, meletihkan
Kalau jiwa tidak kuat usaha tidak dapat diteruskan,
atau buat tanpa kesungguhan

Kerana itulah mujahadah perlu pemangkin yang menggalakkan,
Pemangkin ialah puasa yang hati dan fikirannya puasa,
sembahyang yang dapat dihayati,
didikan Al Quran yang difaham dan dijiwai

Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan
dan menajamkan rasa bertuhan
Di antara didikan Al Quran di sana ada khabar gembira,
ada amaran, ada suri teladan juga ada kesedaran dan keinsafan

Didikan puasa rasa lemah, rasa hamba,
rasa timbang rasa, menyedarkan dan menginsafkan

Daripada 3 pakej didikan yang utama itulah
menjadikan pemangkin menguatkan jiwa, menyuburkan jiwa, meneguhkan keyakinan
Apabila jiwa kuat, jiwa subur, mujahadah pun kuat
Apabila jiwa kuat dan subur hikmah Ramadhan
daripada 3 pakej didikan tadi boleh bangunkan insan

Jika hikmah Ramadhan itu dapat dimiliki lahirlah manusia luarbiasa
Ertinya manusia yang dioverhaul di bulan Ramadhan
mengembalikan manusia kepada fitrah sucinya
Lahirlah manusia yang luar biasa,
iaitu manusia yang benar-benar rasa kehambaan
Manusia yang tawadhuk, sabar, redha, berkasih sayang,
bertimbang rasa, pemurah, kerjasama
Malu akan jadi pakaian, tawakal menjadi perasaan, keyakinan kental
Apabila sifat ini dapat dimiliki, automatik mazmumah terbasmi
Sombong, tamak, bakhil, pemarah, hasad,
dendam, gila puji, gila nama, mati

Inilah dia orang yang menang dan berjaya didikan Ramadhan
Selepas Ramadhan manusia itu kembali suci seperti fitrahnya yang semulajadi
Orang ini sahajalah yang layak berhari raya
Kerana berjaya mengembalikan kesucian fitrahnya,
hari raya namanya

Hari raya ertinya mengembalikan fitrah suci lagi murni
Kalau fitrah yang suci murni ini kekal sepanjang tahun,
Ramadhan yang akan datang
hanya memberi cahaya lagi, bukan overhaul
Begitulah didikan Ramadhan ramai orang yang gagal,
sedikit sangat yang berjaya

Sumber : http://barokah.wordpress.com





Redha dengan Ketentuan Ilahi

5 05 2008

Muhasabah diri

Dalam derita ada bahgia
Dalam gembira mungkin terselit duka

Tak siapa tahu, tak siapa pinta

ujian bertamu…


Bibir mudah mengucap sabar
tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir terimalah dengan hati terbuka
walau tersiksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
setiap kali ujian menjelma
itu jelas membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
rintihanmu berpanjangan

bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
segala ujian diberi

Moga bersyukurlah selalu…..

————————————————————————————————

Demikian petikan nasyid Rahmat Ujian nyanyian Mestica, benarlah, kadang-kadang apa yang ditakdirkan Tuhan pada kita itu kita rasakan pahit dan tidak memenuhi apa yang kita impi-impikan.
Namun, Maha Suci Allah, disebalik kepahitan itu sebenarnya ada rahmat yang tersembunyi.
Samaada kita menyedari atau tidak, itu bergantung pada tahap iman kita dan kesabaran kita. Kalau kita gagah dan tabah menghadapinya, sentiasa berbaik sangka dengan Allah, redha dengan setiap keputusan yang Allah tetapkan pada kita walaupun pahit untuk kita menerimanya, insyaAllah Allah akan menyayangi kita kerana kita bersabar di atas ujianNya.

Sebaliknyanya, jika kita tak mampu walaupun kita tahu ia ketetapan Allah dan itulah yang terbaik untuk kita, kita akan mula diambil kesempatan oleh syaitan untuk buruk sangka dengan Allah. Nauzubillah.

Yang pasti, bila kita asyik memikirkan kenapa dan mengapa Allah tentukan begini, kenapa tidak begitu, kita akan tersesat jalan dan nafsu dan syaitan akan mendorong kita melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Natijahnya, kebahagiaan yang cuba kita cari sendiri dengan tidak redha dengan ketetapan Allah pada kita sebenarnya adalah musibah dan bala yang akan menimpa hidup kita.

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar dan kepahitan dan penderitaan ini hanyalah seketika cuma, dunia adalah persinggahan dan tempat untuk menguji manusia. Kebahagiaan yang haqiqi adalah diakhirat sana…..kepahitan didunia diiringi dengan kesabaran akan menjanjikan kebahagiaan disana, sebaliknya kepahitan dan secebis penderitaan didunia diiringi dengan kelalaian pada Tuhan dan melakukan perkara yang mengundang kemurkaannya akan menjanjikan azab akhirat yang terlalu pedih.

————————————————————————————————

Segenggam Tabah (In-Team)

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi
Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti
Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu
Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya

Kesimpulannya, apa yang menimpa kita hari ini dan apa yang Allah telah tetap dan takdirkan untuk kita adalah apa yang kita usahakan sebelumnya, sesungguhnya bukan Allah yang berlaku zalim pada kita tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri dengan dosa-dosa dan menderhakai Allah SWT. Datangnya ujian dan sesuatu yang pahit buat kita, adalah peringatan dari Allah SWT dan tanda kasih sayangnya untuk kita sedar dari kesilapan yang pernah kita lakukan……





Awwalul Kalam – Peringatan buat diri

4 05 2008

Muhasabah dan Tafakur

Sesungguhnya orang yang paling celaka dan malang ialah orang yang panjang angan-angan. Dia mengharapkan syurga dan keampunan Allah tapi hakikatnya amalannya adalah amalan orang-orang fasik dan sentiasa menderhakai Allah. Dia memasang angan-angan yang tinggi, bahwa dia akan diampuni Allah, pada masa yang sama dia tidak melakukan amalan untuk mendekatkan dirinya pada Khaliq. Dia meninggalkan Solat Subuh Berjemaah di masjid, dia meninggalkan solat fardhu berjemaah di masjid, dia meninggalkan membaca Al-Quran, dia tidak berselawat dan mengingati Rasulullah SAW, solatnya di akhir waktu dan banyak membuang masa dengan melakukan kemaksiatan pada Allah SWT. Amat malangnya orang seperti ini, lebih-lebih lagi apabila dia memasang angan-angan dia akan diampuni Allah sedangkan amalan hariannya membelakangkan Allah SWT. Astargfirullahal ‘Adzim.