Menukar Pemerintahan Menurut Perbahasan Ulamak

15 03 2010

Oleh : Ustaz Mohd Asri Zainal Abidin

Persoalan menjatuhkan kepimpinan atau pemerintahan yang dipegang oleh orang Islam adalah satu persoalan besar yang dibahaskan oleh para ulamak sejak sekian lama. Ini adalah kerana wujudnya hadith-hadith yang melarang dijatuhkan sesebuah pemerintahan yang dipegang oleh orang-orang Islam tanpa alasan yang kukuh, disamping penggulingan kepimpinan negara atau daulah boleh mengakibatkan pertumpahan darah dikalangan rakyat jelata.

Oleh itu, baginda Nabi s.a.w. melarang pertembungan demi merebut kepimpinan melainkan dengan alasan yang kukuh. Dalam hadith yang soheh diriwayatkan daripada Abi al-Walid Ubadah bin Somit r.a. katanya: kami telah berbaiah kepada rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbaiah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat Kufr Bawwah (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbaiah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. (Riwayat al-Bukhori hadith ke 7199, Muslim hadith ke 1836)

Hadith diatas menjelaskan kepada kita bahawa rasulullah meminta daripada umat Islam agar mentaati pemerintah dalam segala keadaan, sekalipun mereka melakukan kezaliman terhadap kita. Kita ditegah merebut kuasa melainkan apabila melihat Kufr Bawwah iaitu kekufuran yang dalil mengenainya jelas tanpa sebarang keraguan atau takwil. Kita pula dikehendaki menyatakan kebenaran dimana sahaja dan dihadapan sesiapa sahaja.


HUKUM MEMERANGI PEMERINTAH.

Pada asalnya syarak melarang umat dari keluar bersenjata memerangi para pemimpin yang fasik atau zalim sekiranya soal fasik atau zalim itu hanya terbatas kepada persoalan peribadi pemimpin sahaja tanpa melibatkan persoalan dasar kepada ajaran islam. Sebab kepada larangan keluar memerangi pemerintah tanpa sebab-sebab yang amat besar iaitu Kufr Bawwah ialah kerana kesannya yang amat merugikan.

Jika peperangan berlaku sesama Islam maka banyak darah muslimin yang akan tumpah, kekuatan umat menjadi lemah dan golongan kafir berkesempatan daripada peperangan saudara yang sedemikian. Kata al-Imam an-Nawawi dalam mensyarahkan hadith soheh muslim, Adapun keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya adalah haram dengan Ijmak al-Muslimin sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim. Ini semua jelas terbukti didalam hadith-hadith yang memberi maksud apa yang aku sebutkan. Kata para ulamak:Sebab tidak dipecat dan diharamkan keluar menentangnya adalah kerana membawa kepada fitnah dan tumpah darah dan kerosakan yang nyata, maka menjadikan kerosakan memecatnya lebih besar dari mengekalkannya.

Dalam mensyarahkan hadith lain pula an-Nawawi menyebut: Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam.(rujukan syarh soheh Muslim oleh an-Nawawi m.s. 540,552/jilid 12 cetakan dar al-khair beirut)

Ad-Dawudi pula menyebut: yang menjadi pegangan para ulamak mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar.(rujukan Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani m.s. 498/jilid 14 cetakan dar al-Fikr, Beirut)

KUFR BAWWAH

Berhubung dengan persoalan kufr bawwah maka para ulamak berbincang apakah yang dimaksudkan dengan perkataan berkenaan dalam hadith diatas dan hadith-hadith lain yang menggunakan perkataan yang sama yang kerananya membolehkan pemerintah ditendang dan dipecat.

Ada yang menafsirkan dengan mungkar yang terang yang melanggar kaedah Islam dan tidak ada sebarang alasan dan andaian lagi kerana begitu terang dan nyata. Ini adalah pendapat an-Nawawi. Mustafa al- khin dan Mustafa al-Bugha memegang pendapat an-Nawawi ini dengan kata mereka an-Nuzhah: Tidak boleh menentang para pemerintah kecuali apabila berlakunya mungkar yang pasti yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam. Jika berlaku demikian maka wajib memenangkan yang hak dengan apa pengorbanan sekalipun(rujukan Nuzhah al-Muttaqin syarh Riyadh as-Sholihin,m.s. 171/ jilid 1.ctk. Muassasah ar-Risalh, Beirut)

TIDAK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH

Persoalan tidak melaksanakan syariat Allah bahkan membelakangkannya lalu memilih perundangan kufur adalah topik yang serius yang diperkatakan dikurun ini. Hendaklah kita ketahui bahawa sepanjang sejarah umat Islam sememangnya pernah wujud para pemerintah yang memiliki keperibadian yang tidak baik, Namun sejarah tidak pernah memberi tahu dikalangan mereka yang menolak secara rasmi hukum-hakam al-Quran dan Sunnah sebagai asas perlaksanaan hukum dan perlembangan dalam masyarakat dan negara.

Kejahatan mereka bersifat akhlak peribadi.Tetapi Islam tetap menjadi teras dan asas undang undang negara. Tidak pernah dikalangan meeka mengistiharkan pengubalan undang-undang yang tidak bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Kalaulah ada pemerintah yang melakukan sedemikian pasti umat islam yang ada ketika itu mengistiharkan jihad besar-besaran terhadap mereka.
Hal ini dapat kita lihat kepada fatwa yang dikeluarkan oleh al-Imam Ibn Kathir terhadap pemerintah Tatar atau Monggol yang mengubal undang-undang ketika menawan Baghdad dengan mencampurkan undang-undang Yahudi, Keristian, Islam dan juga pemikiran pemimpin mereka iaitu Ginkiz khan.


Kata al-Imam Ibn Kathir didalam tafsirnya: Sepertimana yang Tartar berhukum dengan berteraskan sistem pemerintahan yang diambil daripada raja mereka Ginkiz Khan yang telah mencipta untuk mereka undang-undang Yasak yang merupakan sebuah buku menghimpunkan hukum-hakam yang diambil daripada syariat yang berbagai, iaitu , Yahudi, Nasrani,Islam dan lain-lain.

Dalamnya juga banyak hukum-hakam yang diambil daripada fikiran dan hawa nafsunya semata, lalu dijadikan undang-undang yang diikuti oleh anak cucunya. Mereka mendahulukannya melebihi kitab Allah dan Sunnah Rasulullah ,sesiapa yang berbuat demkian maka dia adalah kafir dan wajib diperangi sehingga dia kembali kepada hukum Allah dan Rasulnya dan tidak berhukum selain daripadanya dalam perkara kecil ataupun besar (rujukan tafsir al-Quran al-�eAzim oleh al-Imam Ibn Kathir jld. 2, m.s. 70.Ctk. Beirut)

Dalam al-Bidayah Wa an-Nihayah yang merupakan kitab sejarah yang besar karangan Ibn Kathir sekali lagi beliau menegaskan perkara ini, katanya: Sesiapa yang meninggalkan hukum-hakam syarak yang diturunkan kepada Muhammad bin Abdillah, Nabi yang terakhir, lalu berhukum kepada syariat yang dimansuhkan (ajaran yang diturunkan kepada nabi yang sebelumnya) menjadi kafir. Bagaimanakah pula mereka yang berhukum kepada Yasa dan mendahulukannya keatas ajaran Islam? Sesiapa yang berbuat demikian maka menjadi kafir dengan Ijmak Muslimin(rujukan al-Bidayah wa an-Nihayah. Juz 12,m.s. 128.Ctk. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut.)

Syeikh al-Islam Ibn-Taimiyyah, tokoh ilmuan yang agong, juga merupakan guru utama al-Imam Ibn Kathir, dengan lebih terperinci menyebut: Tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beriqtikad wajib berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah adalah kafir, Sesiapa yang menghalalkan untuk berhukum dikalangan manusia dengan apa yang dianggapnya adil tanpa mengikut apa yang diturunkan Allah, maka dia adalah kafir�c Katanya lagi: Mereka itu jika mengetahui bahawa tidak harus bagi mereka berhukum kecuali dengan apa yang diturunkan Allah tetapi tidak mematuhinya bahkan menghalalkan untuk berhukum menyanggahi apa yang diturunkan Allah maka mereka adalah orang-orang yang kafir. (rujukan Majmuah at-Tauhid m.s. 205,206,Ctk. Dar al-fikr, Beirut.) Dengan penjelasan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah,maka jelas diperincikan bahawa yang menjadi kufur adalah mereka yang tidak menganggap wajib berhukum dengan sistem Islam atau yang menghalakan sistem yang selain Islam.Namun sesiapa yang beriktiqad wajib berhukum dengan syariat Allah dan ianya syariat yang paling sempurna dan adil tetapi tidak berhukum dengannya kerana kepentingan peribadi dan harta benda dunia maka mereka adalah golongan yang sangat fasik dan zalim.

PEMERINTAH MUSLIMIN SEMASA

Sekiranya sesebuah pemerintah tidak melaksanakan syariat Islam dan menghalalkannya maka ini adalah kufur, maka diwajibkan kita menjatuhkannya dengan cara yang benar-benar menguntungkan Islam dan kaum Muslimin. As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi didalam Fiqh ad-Daulah menyebut tiga kekuatan yang perlu wujud dalam menjatuhkan kerajaan di zaman ini.

Pertama: Kekuatan ketenteraan.

Kedua: Parlimen yang mampu mengubah dasar.

Ketiga: Kekuatan pergerakan rakyat yang menyeluruh yang tidak mampu dihalang oleh sesiapa, sekalipun angkatan bersenjata. Sesiapa yang tidak mempunyai kekuatan ini hendaklah ia bersabar dan bersiap sehingga mampu memilikinya. Dalam masa tersebut maka dakwah diteruskan dengan lisan, menulis dan segala ruang yang ada. (Untuk huraian yang lebih terperinci sila lihat Fiqh Ad-Daulah m.s. 125.Ctk.Dar asy-Syuruq, Qaherah.)

Bagaimana sekiranya sesebuah pemerintah tidak melaksanakan syariat allah tetapi tidak menghalalkannya. Para pemerintah yang mendukung selain dari sistem Islam mereka tidak boleh dianggap terkeluar daripada Islam selagimana mereka tidak melafazkan ucapan yang menghalalkan sistem kufur atau menghina sistem Islam.Dari segi aqidah mereka tidak terkeluar dari islam, dengan itu bagimana nilaian terhadap kerusi pemerintahan mereka?

Dalam persoalan ini Al-Qardhawi di dalam Fiqh ad-Daulah yang dengan jelas menyatakan tetap wajib menjatuhkannya kerana ini adalah persoalan besar yang membabitkan perkara dasar Islam, para ulamak Islam yang lain dizaman kini menyatakan perkara yang sama. Antara yang dinyatakan oleh as-Syeikh Mohammad Naim Yasin di dalam buku al-Jihad: Adapun sekiranya kefasikan pemerintah dan maksiatnya ialah mewujudkan suatu sistem (bukan Islam) untuk rakyatnya dan jelas darinya kepastian menyelewengkan umat dari berpandukan peraturan allah dalam persoalan aqidah, Akhlah dan dipimpin umat selain dari al-quran dan as-sunnah. Sesungguhnya bersabar terhadap kemungkaran tersebut adalah lebih dasyat dan besar fitnahnya dibandingkan dengan sebarang fitnah yang berpunca dari bangkit menentang dan menghunuskan senjata terhadap pemerintah seperti ini.Maka wajib bagi kaum muslimin untuk berjihad menentang pemerintah yang sebegini dan menggunakan sebarang cara yang disyarakkan untuk memecatnya dari tampuk kekuasaan serta digantikan dengan sesiapa yang akan meminpin mereka dengan agama Allah (rujukan : Al-Jihad, Mayadinuhu Wa asalibuhu, ms 203-204. Ctk. Dar al-Furqan, Amman, Jordan )

Perlu diingatkan bahawa perlaksanaan syariaat bermaksud mengistiharkan dengan jelas dan benar bahawa al quran dan as-sunnah adalah perlembagaan pemerintahan . Adapun kecacatan dalam proses perlaksanaan syariat setelah ianya diistiharkan yang berpunca daripada kelemahan pemerintah atau pengendalian, ini tidak membolehkan rakyat keluar menentangnya selagi kecacatan tidak menjejaskan prinsip atau boleh dibetul dengan mudah disebabkan sudah tertera dalam perlembagaan negara.

Demikian adalah secara ringkas perbahasan dalam isu reformasi menjatuhkan pemerintah menurut pandangan Islam.

Advertisements




Masjid Cina Pertama di Malaysia ???

2 02 2009

Dalam perjalanan ke pejabat pagi tadi, sempat saya mendengar Berita Pagi melalui IKIM.FM, antara paparan berita ialah mengenai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi memberitahu sidang akhbar bahawa kerajaan telah meluluskan cadangan pembinaan masjid Cina, dan khabarnya ia YANG PERTAMA DI MALAYSIA. Dan ini sumbernya yang dilaporkan oleh BERNAMA.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=387063

PERTAMA DI MALAYSIA ????

Rasanya umum sudah mengetahui, Masjid Cina sebenarnya telah dibina oleh Kerajaan Negeri Kelantan  yang perbelanjaannya melebihi RM9 juta ringgi. Idea membina masjid yang berkonsepkan seni bina Cina ini telah diilhamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat diawal-awal PAS memerintah Kelantan.

masjidcina

cina-2

cina-3

( Masjid Jubli Perak @ Masjid Cina yang berekabentukkan senibina Cina di Rantau Panjang, Kelantan )

Samada Zahid Hamidi betul-betul tidak mengetahui kewujudannya di kelantan atau sengaja tidak mengiktirafnya kerana ia diilhami dari Tok Guru Nik Aziz dan dibina oleh Kerajaan PAS, hakikatnya Kerajaan PAS mendahului dalam membinanya. Mustahil jugak kerana Masjid sebesar itu yang tersergam indah, dan dilaporkan di media-media tidak diketahuinya. Kalau isu kemiskinan di kelantan, yang terperosok dan dalam lubang cacing pun diketahuinya. Tapi kalau Kelantan mendahului dari segi kebaikan dan apasaja yang menaikkan imej PAS di mata masyarakat, secara automatik akan disorok dari pengetahuan masyarakat.

Kelantan Menerajui Perubahan, Membina Masjid Cina, Merintis penubuhan Pajak Gadai Islam, Mengadakan cuti 2 hari seminggu, Menambah cuti bersalin bagi kakitangan wanita dan banyak lagi usaha-usaha lain yang telah dicontohi oleh Negeri-Negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Wallahua’lam.





Genap 18 Tahun Pemerintahan PAS Kelantan

21 10 2008

Hari ini 21 Syawal 1429H bersamaan 21 Oktober 2008, genap 18 tahun pemerintahan PAS di Negeri Kelantan Darul Naim. Alhamdulillah, syukur kami ke hadratMu Ya Allah, telah kau pilih negeri ini sebagai tapak asas Kerajaan yang cuba melaksanakan Islam, telah kau memenangkan kami, memberi kami peluang untuk cuba melaksanakan perintah dan syariatMu. Semoga kami tidak leka, tidak lalai, tidak sombong dan ego dengan kemenangan ini, semoga kami terus tawadhu’ merendah diri, dan mengisi kemenangan ini dengan iman dan taqwa padaMu. Ameen.


Kelantan Menerajui Perubahan Mencapai Keberkatan

Design oleh : Radzi Zawawi





Pas Tidak Pernah Menggadaikan Prinsip!

3 07 2008

Bagi peminat Akhbar Mingguan Malaysia, anda tentunya pernah membaca Kolum wartawan yang bernama Zulkifli Bakar, sejak beberapa tahun dahulu hinggalah sekarang, Zulkifli terkenal dengan kritikannya yang saya anggap kritikan yang bias untuk membenarkan parti sekular UMNO dan berusaha sehabis mungkin untuk memburukkan PAS di mata masyarakat.

Terbaru tulisannya di Mingguan Malaysia ialah Pas berubah atau keliru? .

Di bawah ini Saya copy pastekan Tulisan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menjawab tulisan Zulkifli Bakar ini.

_________________________________________________

Saya membaca satu persatu tulisan Zulkiflee Bakar hari ini di dalam Mingguan Malaysia. Tulisan yang bertajuk Pas berubah atau keliru? jelas sekali menampakkan penulisnya yang sedang keliru atau sedang cuba mengelirukan orang lain. Dilihat kepada latar belakang penulis ini, tidak peliklah apabila gaya tulisan masih lagi menampakkan kehendak mengampu pimpinan UMNO yang sudahpun berada di talian hayat yang terakhir.

Satu perkara yang sangat-sangat pelik ialah apabila orang seperti Zulkiflee ini seringkali meletakkan beban untuk bersuara tentang Islam kepada PAS. Adakah tanggungjawab menyatakan kebenaran ini hanya kerja orang-orang PAS? Lantas peranan mereka sendiri di mana? Itulah juga yang berlaku di Selangor apabila UMNO mendesak Datuk Dr Hassan Ali menyatakan pendirian mengenai konsert Ella dan Mas Idayu, lalu pendirian mereka apa dia?

Zulkiffle Bakar menghujahkan betapa kelirunya PAS dengan beberapa hujah sinis yang sama sekali tidak layak untuk menghuni sebuah akhbar harian. Adakah Mingguan Malaysia sendiri yang rela merendahkan tarafnya kerana menyedari hakikat mereka sebagai sebuah akhbar nyamuk pencacai UMNO/BN lantas membenarkan dada mereka dihuni oleh tulisan yang tidak menggambarkan minda kelas pertama?

Zulkiffle mendatangkan surat seorang pembaca yang katanya sebagai hujah bahawa PAS sudah hilang prinsip. Antara lain ialah soal suara wanita sebagai qariah. Saya menjawab begini, PAS tidak pernah mengharamkan wanita berceramah di Kelantan. Ketua pembangkang di parlimen tidak menyanyi atau mengalunkan suara merdu tetapi berucap. Sejak bila pula di Kelantan ustazah-ustazah diharamkan berceramah?

Apa yang menjadi pegangan YAB Menteri Besar ialah mengambil pandangan bahawa suara wanita ialah aurat apabila sengaja dilembutkan. Walaupun isu ini merupakan khilaf di kalangan para ulama, tetapi kerajaan Kelantan mengambil pendekatan tidak menghantar peserta perempuan kerana dibimbangi mengundang fitnah. Menghindari fitnah adalah satu perkara yang wajib. Sebagaimana Rasulullah SAW melarang sahabat-sahabatnya menziarahi kubur kerana dibimbangi kerana berlakunya khurafat dan ratapan, kemudian larangan ini ditarik balik. Apakah Rasulullah SAW tiada prinsip? Saya tidak fikir dengan tidak terhantarnya peserta wanita ini menyebabkan Zulkiflee Bakar menjadi sasau akibat gagal menghayati isi kandungan al-Quran. Rasanya kalau Zulkiflee benar-benar bersungguh mencintai bacaan al-Quran, dia tidak akan menjadi pencacai UMNO.

Berkenaan dengan kepimpinan wanita, PAS satu-satunya parti yang memberikan ruang yang begitu luas kepada wanita. Bahkan untuk mewakili kerajaan Kelantan di Dewan Negara, kedua-dua senator yang dilantik ialah dari kalangan wanita. PAS memberikan ruang kepada wanita sehingga kepada peringkat bertanding sebagai Naib Presiden, sesuatu yang tidak mungkin ada di dalam parti projek seperti UMNO. PAS tidak pernah mengharamkan secara total penyertaan wanita sebagai calon pilihanraya, cuma kemampuan wanita untuk berdepan dengan suasana kempen dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tentulah berbeza dengan lelaki.

Hanya wanita yang benar-benar mampu sahaja boleh berdepan dengan tanggungjawab demikian. Apabila calonnya ditemui, PAS boleh membuka ruang bila-bila masa sahaja. Tahukah Zulkiflee, UMNO di Kelantan semenjak dua dekad ini tidak pernah mempunyai wakil wanita di Dewan Undangan Negeri? Bahkan calon wanita UMNO di dalam pilihanraya pun hanya diletakkan di kawasan maut bagi mereka bagi menunjukkan sikap tidak bersungguh UMNO dalam memberikan ruang kepada wanita. Kenapa tidak sesekali letakkan calon wanita di kawasan yang mempunyai kem tentera kerana di situlah UMNO akan menang? Zulkifle tidak boleh mengambil hujah pendirian PAS dengan hanya mengambil kata-kata seorang tukang kempen dalam pilihanraya. Kalau mahu dikaitkan dengan pendirian PAS, sila datangkan bukti. Jangan hanya sekadar mendengar khabar angin lalu dimuatkan di dalam tulisan. Anda penulis berpengalaman, sudah berpindah randah dari akhbar ke akhbar. Kalau begini mutu tulisan Zulkifle, marilah menulis di blog sahaja.

Berkata Zulkiffle lagi, bukti PAS hilang prinsip ialah dengan bekerjasama dengan DAP. Katanya PAS pernah mengkafirkan UMNO kerana kerjasama dengan MCA/MIC. Hakikatnya apa yang ditentang oleh PAS bukanlah kerjasama, tetapi apa yang lahir hasil kerjasama tersebut. PAS tidak pernah menggadaikan prinsip apabila bekerjsama, tentangan Dewan Pemuda PAS terhadap konsert Ella dan Mad Idayu di Selangor menjadi bukti. Tidak seperti UMNO, kerjasama dalam Barisan Nasional menghasilkan natijah Melayu hilang haknya. Berapa banyak tanah orang-orang Melayu tergadai ke tangan orang asing hasil dasar UMNO yang bertuhankan projek. Wilayah Pembangunan Iskandar apa pula ceritanya? PAS kah yang bertanggungjawab menswastakan pegangan tanah tersebut?

Nasihat saya kepada wartawan-wartawan mencari makan seperti Zulkiffle, menulislah dengan adil. Sedikit kagum saya apabila Zulkifle membawa hadis berkaitan kelebihan berkata benar, tetapi sayangnya ditujukan hanya untuk Dewan Pemuda dan Dewan Ulama PAS sahaja. Lalu, Zulkiflee sendiri tidak bertanggungjawab berkata benar?

22 Jun 2008





Kebijaksanaan dan Keprihatinan Kerajaan BN

22 06 2008

Terima Kasih buat Kerajaan Barisan Nasional di atas ‘ kebijaksanaan dan keprihatinan ‘ anda mentadbir Negara Malaysia.

Dulu naik 30 sen, sekarang naik 70 sen.





Memisahkan Politik dengan Agama – Petikan Ucapan YB Us.Nasuruddin

2 06 2008

Politik dengan agama tidak dapat dipisah. Kalau kita baca Fatawa yang dikeluarkan oleh Prof.Dr.Syeikh Yusuf Qardhawi bahawa memisahkan agama islam daripada politik ini boleh menyebabkan seseorang itu rosak aqidah.

Parti politik juga tidak boleh dipisah dengan agama. Islam menggangap semua perkara ada kaitannya dengan agama. Makan minum ada kaitan dengan agama, bercakap ada kaitan dengan agama, memerintah ada kaitan dengan agama, parti ada kaitan dengan agama, berkahwin ada kaitan dengan agama. Cuba bagitahu apa perkara yang tidak ada kaitan dengan agama

Politik dalam bahasa arab disebut Siasah. Dalam Al-Quran disebut, dalam Hadith disebut. Dalam ayat 30 Suratul Baqarah. Ayat 30 Allah Taala berfirman yang bermaksud

“ Ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku akan menjadikan seorang Khalifah di atas muka bumi “

Apa makna Khalifah ?

Khalifah ataupun Khilafah. Makna Khalifah ditafsirkan oleh Para Ulama’, di antaranya Ibnu Khaldun menyebut dalam Kitabnya Al-Muqqadimah. Al-Imam Al-Mawardi, seorang Ulama besar dalam Mazhab Syafei menyebut dalam Kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyah, makna Khalifah ialah Khilafatun Nubuwah, Fi Hirasati Deen, Wa Siasati Dunya Bih. Makna Khalifah ialah Pengganti Nabi dari segi menjaga ugama dan memerintah dunia dengan agama, mentadbir dunia dengan agama.

Sekali lagi diulangi, politik ini disebut dalam Al-Quran dan disebut dalam Hadith Nabi.

“ Bani Israil itu, yang menjadi pemimpin politik mereka ialah nabi-nabi mereka, apabila seseorang nabi itu wafat, Allah gantikan nabi yang lain, begitulah seterusnya, sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Muhammad, Nabi akhir zaman, dia adalah Rasul dan dia adalah pemimpin negara. “

UNDI PAS BOLEH PAHALA ???

Memang undi PAS boleh pahala, kerana…

PAS buat islam, sebagaimana contoh saya sebut tadi, kalau kita larang orang berjudi, walaupun orang tak berhenti berjudi, kita boleh pahala, bila kita dapat kuasa, kita tak benarkan aktiviti perjudian berlaku di negeri kelantan, maka semua orang undi PAS boleh pahala.

Kita undi umno, umno keluar lesen judi (sport toto, nombor ekor) , dosa ke tak ? Dosalah jawabnya…

Jumhurul Fuqaha’ menyebut definisi negara Islam

“ Negara Islam ialah negara yang diperintah oleh orang Islam dan dilaksanakan di dalamnya undang-undang Islam “

Wallahua’lam..





Mengapa Umat Islam Wajib Berpolitik

25 05 2008

Assalamualaikum wbt....

Ustaz ,

saya ni bukanlah mewakili mana mana parti politik,dan saya ada soalan penting untuk ditanya kepada ustaz.Saya harap sangatlah ustaz dapat menjelaskan persoalan saya ni berdasarkan hujah dan dalil naqli Alquran dan juga hadis soheh.

Adakah menubuhkan sesuatu parti politik itu haram? Setahu saya di Arab Saudi tiada parti politik kerana katanya ia boleh memecahbelahkan umat. Jadi apakah hukumnya penubuhan parti politik ini? Kerana setahu saya semasa zaman nabi terdahulu tiada seorang nabi,para anbiya dan syuhada yg menubuhkan parti utk mendaulatkan Islam.Malahan penubuhan parti politik inipun sebenarnya bukan datang dari islam malahan ianya diasaskan oleh org kafir!

Lagipun, bukannya saya ni jahil sangat mengenai keadaan politik di negara ini. saya tahu bahawa pihak pemerintah pun banyak menyeleweng dari islam! Umat islam hanya akan bersatu dibawah kalimah laailahaillalah dan tiada pertikaian pun mengenainya! Tapi saya agak ragu ragu dgn memperjuangkan islam ini dgn menubuhkan parti!mengapa tidak boleh kita perjuangkan islam melalui cara dakwah spt pertubuhan tabligh tersebut?

Lagipun,saya dapati bahawa cara mereka berdakwah ialah dgn memantapkan iman dan amal.Saya berkata sedemikian kerana inilah baru kali pertama saya mengikuti tabligh selama 3 hari bertempat di Naza Plantations, Raub, pahang. Sepanjang saya mengikuti tabligh tersebut,Banyak perkara telah saya belajar. Tujuan tabligh inipun sebenarnya bukannya utk hanya berdakwah pada org,tapi utk mentarbiahkan diri sendiri,agar Iman dan amal dapat dimantapkan.Saya dapat merasakan sendiri persaudaraan islam,dan Allah telah merahmati dan memberkati kami dgn memberikan pengertian sebenar tentang hakikat kehidupan!!

Dan apa yg menakjubkan hati saya ialah ada diantara jemaah tabligh ini ada yg sebelum ini tak pernah sembahyang dan tak FAHAM apa itu agama pun, Menangis kerana keinsafan dan mula Faham akibat daripada usaha Ustaz yg memberikan syarahan, bayan dan majlis taalim mengenai Iman dan amal!!

Dan saya pun berfikir semula tentang usaha Parti Pas khususnya.banyak yg berbicara mengenai kepentingan kembali pada Alquran dan assunnah. Memang betul, usaha itu perlu disokong,tapi, kebanyakan masy. kita hari ini tak paham kenapa kena kembali pada Alquran dan sunnah, Sebab apa ustaz, SAYA percaya kerana iman dan amal mereka sendiri AMAT RAPUH!! Salah satu perkara yg amat amat ditekankan semasa tabligh itu ialah SEMBAHYANG BERJEMAAH. Kita boleh lihat betapa kosongnya masjid dan surau hari ini!!Jadi tak hairanlah masy.kita terus berada dalam kelalaian!!

Saya percaya jika pihak PAS menekankan usaha iman dan amal ini dalam dakwah dan ceramah mereka,insyaallah masy. akan mula paham!

Jadi saya amatlah berharap pada ustaz utk menerangkan kepada saya mengenai persoalan diatas. Saya yg tak ada ijazah agama ni tak tau apa pun! Kalau boleh penjelasan itu jangan lah terlalu bias. Pegang pada kebenaran..

Jazakallahu khairan kathira.

Muhammad Syafiq

————————————————————————————-

Jawapan dari Ustaz Ali Muda

Wa`laikumussalam warahmatuLlah.

Alhamdulillah, sdr telah diberi taufik oleh Allah s.w.t. utk memahami Islam atau sebahagian drp Islam. Daripada seorg yg kurang faham apa peranan agama menjadi seorg yg merasakan kemanisan hidup beragama. Bersyukur juga kerana sdr telah terlibat dgn salah sebuah pergerakan yg cintakan Islam dan ingin melihat Islam didaulatkan di bumi Allah s.w.t. ini, w/pun dgn caranya yg tersendiri.

Persoalan sdr ini berfokus kpd cara utk menegakkan Islam, setelah sdr bersetuju bahawa pemerintah umat Islam hari ini tidak boleh diharapkan utk mendaulatkan Islam secara syumul. Persoalannya apakah boleh Islam diperjuangkan menerusi penubuhan parti politik, yg menurut sdr, tidak pernah dilakukan oleh para nabi dan Nabi Muhammad s.a.w. Arab Saudi juga, menurut sdr, mengharamkan penubuhan parti politik kerana boleh memecahbelahkan umat.

InsyaAllah, saya akan menjawab persoalan sdr ini dgn cara akademik/ilmiah berdasarkan hujah tanpa bias kpd mana2 pihak, w/pun sdr sendiri telah menunjukkan kecenderungan sdr kpd satu pihak. Harapan saya, jika jawapan saya ini tidak menjurus kpd kecenderungan sdr, janganlah sdr anggap saya bias. Maka sukalah saya tegaskan bahawa saya juga tidak menganggotai mana2 parti politik kerana saya ingin bebas membuat penilaian berdasarkan ilmu yang saya belajar. Jika ilmu saya mengatakan 'itu', maka tiada siapa berhak menidakkan kebenarannya melainkan dgn hujah ilmu juga, bukan dgn sentimen, fanatik, prasangka dan sebagainya. Mungkin orang lain berpendapat berlainan berdasarkan ilmu juga, maka saya terima hal itu atas prinsip 'al-khilaf al-masyru`' (khilaf yg dibenarkan syarak), jika ia berada dlm lingkungan perkara cabang atau ranting (furu`), bukan pokok (Usul). Dan ILMU yg saya maksudkan ialah kefahaman yg mendalam terhadap sesuatu persoalan, dgn perantaraan alat2 yg disepakati utk menuju kpd kefahaman itu.

Jika persoalannya ialah berkaitan hukum atau pandangan Islam dlm sesuatu perkara, maka sudah pasti alat2 yg wajib utk menuju kpd kefahaman yg sebenar ialah kefahaman asas terhadap sumber Islam iaitu nas2 al-Quran dan hadis (yg sahih) serta perbahasan ulama yg muktabar ttgnya. Oleh kerana nas2 al-Quran, hadis dan perbahasan ulama muktabar itu kebanyakannya dalam B. Arab, maka kefahaman mendalam dlm bahasa itu adalah satu keperluan yg wajib. Tidak cukup setakat itu, kefahaman yg mendalam terhadap ilmu disiplin berhujah dgn al-Quran dan hadis (iaitu ilmu Usul al-Fiqh dan Qawa`id al-Fiqh) adalah juga suatu yg mesti dan wajib.

Berbalik kpd persoalan sdr, apakah masyru` (dibenarkan syarak) penubuhan parti politik utk menegakkan Islam?

Sdr beranggapan ia tidak masyru` berdasarkan hujah-hujah: (1) Di Arab Saudi tiada parti politik kerana menurut mereka parti politik boleh memecahbelahkan umat, (2) Tiada seorang nabi dan para pejuang syuhada zaman dulu yg berjuang menegakkan Islam melalui parti politik, (3) Parti politik berasal drp sistem kafir, (4) Parti politik boleh digantikan dgn cara berdakwah kpd iman dan amal, spt yg dilakukan oleh Jamaah Tabligh.

Demikian hujah2 sdr. Tetapi saya ada hujah2 lain yg menunjukkan penubuhan parti politik Islam sebg suatu yg masyru` bahkan dituntut dlm zaman sekarang. Hujah2 saya spt berikut:

1) Tiada nas s/ada dlm al-Quran, hadis atau kata2 ulama terdahulu yg muktabar bahawa penubuhan parti politik itu dilarang syarak. Dlm syariah (Usul al-Fiqh), ada satu kaedah yg berbunyi "Aslul Asy-yaa' al-Ibahah" (Asal sesuatu perkara itu adalah harus). Semua perkara di dunia ini asalnya harus, melainkan setelah datangnya nas2 yg melarangnya, barulah hukumnya bertukar menjadi haram atau makruh, ataupun apabila datangnya nas2 yg menyuruhnya, maka ia pun bertukar menjadi wajib atau sunat. Antara haram dan makruh, atau antara wajib dan sunat, adalah berdasarkan sejauh mana larangan dan suruhan itu, dgn sokongan nas2 yg lain, yg difahami oleh ulama yg berkecimpung dlm bidang ilmu prinsip pengeluaran hukum Islam (iaitu ilmu Usul al-Fiqh), dgn sokongan ilmu yg luas ttg hadis Nabi s.a.w., yg merupakan praktis kpd seluruh hukum Islam yg wujud sebelum kemangkatan baginda.

Oleh kerana tiada nas yg melarang, maka penubuhan parti politik adalah harus. Itulah asal dan dasarnya.

2) Apabila kita bercakap mengenai parti politik Islam (iaitu parti yg berjuang utk mendaulatkan Islam), maka kita telah terkeluar drp asal dan dasar hukum tadi (harus). Hukum itu telah bertukar menjadi sekurang-kurangnya sunat, kalaupun tak wajib. Ini berdasarkan nas al-Quran yg bermaksud: "Dan bertolong menolonglah kamu dlm perkara kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong menolong dlm perkara dosa dan permusuhan…" (Al-Maidah: 2 ) . Jika parti Islam bertujuan utk bergabung tenaga menegakkan Islam, bagaimana ia dikatakan haram, sedangkan ia bertepatan dgn kehendak ayat tersebut? Apatah lagi tiada satu nas pun yg melarangnya.

3) Walau bagaimanapun, jika kita merujuk kpd nas yg lain, kita dapati penubuhan parti politik dlm sebuah negara demokrasi spt Malaysia adalah dituntut oleh syarak. Ada nas yg bermaksud " Sesungguhnya Allah menyukai orang2 yg berjuang di jalan-Nya dlm satu saf (barisan/front/organisasi) seumpama sebuah bangunan yg berdiri teguh…" (Al-Saff)

4). Alangkah bodohnya umat yg ingin melihat Islam tertegak di muka bumi, tanpa membuat persediaan yg lebih baik drp kaum yg ingin merobohkan Islam atau yg berpura-pura cinta Islam (spt yg sdr sendiri faham), ataupun sekurang-kurangnya membuat persediaan yg setanding dgn musuh itu. Adakah Allah s.w.t. akan menolong dgn mukjizat semata-mata tanpa wujudnya usaha yg tersusun dan sistematik drp para pejuang? Sedangkan Nabi s.a.w. sendiri tidak diberikan mukjizat melainkan setelah banginda bekerja keras siang malam dgn tulang empat kerat.

Kalaulah musuh ada barisan/front/organisasi yg memonopoli sistem demokrasi, apakah pejuang Islam perlu pejam mata dan pekakkan telinga saja atas alasan demokrasi, parti politik dan pilihanraya adalah sistem ciptaan org kafir!!?? Apakah patut pejuang Islam membiarkan saja kerusi eksekutif yg berkuasa mencipta undang2 ke atas umat di dewan rakyat, parlimen, dewan undangan negeri dll diduduki oleh puak yg benci kpd Islam secara zahir batin atau secara batin sahaja (terlihat kebenciannya secara luar kawalan/ tak sengaja)?

Realiti dan hakikatnya, sama ada rakyat suka atau tidak, org yg menduduki kerusi2 eksekutif itulah yg mencipta, menggubal, meminda atau membatal undang2 sebaik sahaja mereka berkuasa setelah menang dlm pilihanraya 'demokrasi'. Bila mereka memiliki kuasa itu, persetankan sahaja kehendak rakyat terbanyak. Mereka kata mereka telah diberi mandat selama 5 tahun, kalau tak setuju, tunggu 5 tahun!! (W/pun mandat itu diperolehi secara penipuan spt undi pos yg menjadi taboo kpd pembangkang).

Bila mereka kata kita tak boleh laksanakan hukum jenayah dlm al-Quran (hudud), rakyat (termasuk org yg cintakan al-Quran dan Islam spt sdr) terpaksa terima. Bila mereka kata harga barang itu ini dinaikkan, semua rakyat terpaksa bayar w/pun perit. Bukanlah susah utk mencipta beberapa rasional di sebalik kenaikan harga barang itu dgn sokongan sedikit 'statistik' atau 'angka' yg entah betul ke tidak. Rakyat terima ajelah. Bila mereka nak langgar perjanjian yg mereka sendiri buat, rakyat pun terpaksa akur, sebab mereka masih berkuasa sebg kerajaan pusat.

Jika itu realiti dan hakikat posisi kuasa pd hari ini, kenapa pejuang Islam perlu mengasingkan diri dan lari drp merebut peluang utk melaksanakan Islam melalui kuasa? Apakah Nabi s.a.w. mampu melaksanakan Islam tanpa kuasa yg diusahakan? Bukankah perpindahan dr Mekah ke Madinah (Hijrah) itu sebg satu strategi utk mempraktikkan Islam melalui kuasa politik/pemerintahan di sebuah negara yg bebas dan berdaulat (w/pun bukan secara parti politik spt hari ini)? Secara logiknya, adakah baginda akan berjaya menegakkan Islam tanpa berhijrah mendapat sebuah negara yg berkuasa politik? Adakah Islam akan boleh dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebuah negara dan isitem yg beas dan tersendiri? Bukankah baginda telah boleh berdakwah, beriman dan beramal di Mekah? Kalau dah boleh, kenapa sibuk2 mengajak para Sahabat r.a. berhijrah? Sedangkan beramal di Mekah itu mendapat pahala yg paling besar?

Jawapan kpd soalan2 di atas ialah "kuasa eksekutif itu adalah asasi utk mempraktikkan Islam secara syumul di bumi Allah s.w.t. ini". Zaman Nabi s.a.w. ia (kuasa eksekutif) itu didapati melalui hijrah dan jihad di medan, manakala zaman ini (dlm konteks M`sia dan kebanyakan negara), ia diperolehi melalui pilihanraya.

Kita perlu faham, Islam itu bukan sekadar iman dan amal spt solat, zakat, haji, zikir atau baca al-quran shj. Kalau itulah shj Islam, Nabi s.a.w. tak perlu berhijrah, sebab semua itu boleh dilakukan di Mekah, dgn pahala yg paling besar lagi. Itu semua amal individu, kalau tak ada negara dan kuasa pun kita boleh amalkan ibadat2 itu. Tetapi Islam lebih luas drp itu.

Ada banyak lagi suruhan Allah s.w.t. yg tidak boleh dilaksanakan jika Islam tidak mempunyai negara atau kuasa berdaulatkan al-Quran dan sunnah, spt suruhan melaksanakan hudud (sistem kawalan jenayah secara Islam), suruhan melaksanakan ekonomi Islam secara total tanpa campuran riba, suruhan jihad memerangi musuh yg mengkhianati umat Islam, suruhan mengharamkan segala yg diharamkan Allah s.w.t. (spt arak, judi dll) dan menghalalkan segala yg dihalalkan-Nya (tazkirah bulan Ramadhan, ceramah agama, perhimpunan aman dan segala perkara yg bukan bertujuan jahat) dan yg paling besar sekali ialah suruhan menyebarkan rahmat kpd sekalian alam. Hampir semua pemimpin umat Islam hari ini tidak melaksanakan agenda terbesar Islam ini kerana mereka bernegara dan kuasa sekular. Org bukan Islam, khususnya kuasa2 barat semakin memandang lekeh kpd Islam di zaman pemimpin2 Islam sekular berkuasa kini. OIC? ...diketawakan saja!! Malaysia negara contoh?? …nampaknya lebih kpd syok sendiri!!

5) Kalau demikianlah hal dan realitinya hari ini, maka tak mungkin hanya dgn berdakwah keluar 3 hari, 10 hari, 40 hari, sebulan, 4 bulan bahkan setahun sambil beramal ibadat individu (solat, zakat, haji, zikir, baca al-Quran dan seumpamanya); tak mungkin dgn cara itu saja negara Islam akan tertegak spt Nabi s.a.w. pernah sunnahkan di al-Madinah al-Munawwarah. W/pun saya tak nafikan amalan2 itu juga adalah baik. Tetapi baik semata-mata tanpa strategi jangka pendek dan panjang, lebih dekat kpd sia2. Apakah amal sebegitu telah menepati kehendak Allah s.w.t. kita berjuang dlm satu saf/barisan/front/organisasi seperti sebuah bangunan yg terpacak teguh tanpa goyah dek sebarang gegaran? Sedangkan musuh (yg jelas atau yg spt musang berbulu ayam) sedang enak menjahanamkan Islam yg syumul bawaan Nabi s.a.w., kita masih asyik berbalah ttg apakah boleh berparti politik.

Maka dlm konteks hari ini, berparti politik utk menegakkan Islam adalah lebih dekat kpd wajib berdasarkan satu prinsip al-Qawa`id Al-Fiqhiyyah yg berbunyi "Maa laa yatimmu al-waajib illaa bihii fahuwa waajib" (Sesuatu perkara, yg tidak akan sempurna perkara yg telah wajib melainkan dengannya, maka perkara itu menjadi wajib juga hukumnya). Mendaulatkan Islam secara syumul (menyeluruh) s/ada dlm bidang akidah, akhlak, ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, jihad, dan sebagainya itu adalah satu kewajipan yg telah pasti berdasarkan nas2 yg telah sedia ada dlm al-Quran dan hadis sahih. Tetapi banyak bidang itu tidak dpt dilaksanakan tanpa wujudnya negara, kuasa dan sistem Islam yg memimpin. Maka mewujudkan negara, kuasa dan sistem Islam itu wajib hukumnya.

Dlm konteks hari ini, negara, kuasa dan sistem itu tak akan dapat dicapai melainkan dgn cara2 spt: pilihanraya demokrasi (di kebanyakan negara umat Islam w/pun demokrasi palsu), revolusi (spt Iran 1979), reformasi (spt Indonesia, Filipina). Dua cara terakhir itu boleh mengakibatkan mudharat dan tumpah darah, maka hendaklah dielakkan selagi ada jalan yg lebih selamat, iaitu pilihanraya demokrasi.

Oleh kerana pilihanraya demokrasi itu hanya boleh disertai oleh parti politik berdaftar, maka menjadi kewajipanlah kpd pejuang Islam utk mendaftarkan paling kurang sebuah parti politik yg khusus utk menegakkan Islam. Kalau tidak, tak boleh masuk pilihanraya. Kalau tak boleh masuk pilihanraya, tak mungkin akan dapat duduk di kerusi eksekutif itu. Kalau tak duduk, tak mungkin berkuasa dlm realiti negara hari ini!! …………Ada sesiapa lagi yg nak menidakkan realiti semasa secara membuta tuli???

6) Kalau pemerintahan dah OK (adil, bersih, bertanggungjawab macam al-Khulafa' al-Rasyidin), memang tak perlu kpd parti2 politik, sebab memang boleh menyebabkan perpecahan. Tetapi apakah pemerintah hari ini boleh membuktikan keadilan, kebersihan dan kebertanggungjawaban spt para khalifah yg dipuji oleh al-Quran dan mendapat didikan secara langsung drp Nabi s.a.w. itu? Tak ada!!… termasuklah kerajaan Arab Saudi sendiri. Kalau dah macam khalifah, tak kan dia benarkan tanahnya digunakan oleh Syaitan Terbesar (USA) sebg pangkalan utk menyerang saudara Islamnya di Iraq. Sebaliknya, ketidakwujudan parti politik langsung spt di Saudi lebih membawa kemudaratan kpd umat kerana pemerintah boleh berbuat apa saja tanpa siapa berani menegur.

7) Tidak semua perkara yg dicipta oleh org bukan Islam/kafir itu haram diguna pakai oleh umat Islam (spt sistem pilihanraya dan parti politik). Yg menjadi haram sesuatu perkara itu bukan sebab ianya dicipta oleh org bukan Islam, tetapi sebab dah ada nas yg mengharamkannya.

8) Tak semua perkara yg Nabi sa.w. tak buat, maka kita pun tak boleh buat. Nabi s.a.w. tak buat jalan raya berturap, bangunan tinggi2, pejabat agama, masjid surau yg banyak, tabung haji, dsb.nya. Tapi apakah kita pun diharamkan membuat perkara2 baik itu atas alasan baginda tak buat? Jadi kalau baginda tak buat parti politik yg sama sebijik macam hari ini pun, apa salahnya kita kreatif sikit dlm perjuangan Islam ini, demi melawan kekuatan sistem musuh?

9) Parti politik Islam pun bukan hanya berpolitik saja, mereka juga mendukung agenda dakwah, iman dan amal. Bahkan dakwah, iman dan amal yg lebih luas lagi drp yg tak berparti politik. Cuma kalau ada sikit2 kelemahan tu, memang manusia tak ada yg sempurna. Perbaikilah mana2 yg tak sempurna tu, setelah sedar dan tahu dasarnya betul dan tepat dgn kehendak Islam. Jgn kerana beberapa kelemahan itu, kita pun turut memusuhinya atau lebih sedih lagi kita pergi sokong parti jahiliyah pula. Ini yg parah nih!!

Kalau Jamaah Tabligh amat menitikberatkan pasal solat secara berjemaah di masjid (dan inilah yg sepatutnya), ajaklah ahli2 parti Islam berjemaah sama. Jgn kerana beberapa kerat yg tak berjemaah (atau yg tak solat pun ada), maka Tabligh terus hukum ahli parti Islam sebg tak beramal. Cuba Tabligh pergi dengar kuliah2 ilmu para pemimpin parti Islam itu, bukankah mereka berdakwah kpd iman dan amal juga?? Bila dah ramai sangat tu, biasalah ada yg nakal seorg dua. Itu perlu ditegur dan dinasihat, bukan dihukum jahat terus. Ahli Tabligh pun ada yg masih tak selayaknya. Kalau Tabligh kata mereka berusaha meningkatkan diri dlm jamaah, begitu juga ahli2 parti Islam. Oleh itu, bekerjasamalah. Jgn hentam menghentam atau undi parti sekular pulak. Daftarlah sebg pengundi yg sah dan berilah undi utk parti yg memperjuangkan Islam.

Sekian jawapan saya seikhlasnya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.

Di petik dari Laman Ustaz Ali Muda